Sunday, May 10, 2009

Dari Sebuah Kelukaan

Humairah leka mengadap laptopnya, seharian dia bertungkus lumus menyiapkan artikelnya. Menghitung date line yang semakin hampir, ditambah pula dengan pelbagai aktiviti ilmu di musolla memaksa dia memberikan sepenuh tumpuan pada artikelnya. Kali ini, dia diamanahkan untuk mengupas topik “Cinta Ilahi”. Kepalanya semakin berdenyut, Humairah hanya menjamah roti dan air suam. Fikirannya berhempas-pulas menggarapkan bait-bait ayat terbaik untuk dihantar kepada Ustaz Kamil, editor majalah Wadah Remaja Islam.

Sedang memikirkan penutup bagi artikel yang seharian dihadapnya, Humairah menerima sms dari seseorang yang tidak disangkanya. Cerita lama yang sepahit mungkin ditelan dan sedaya upaya dilupakan, namun hari ini mujahadahnya terganggu.

“Assalamualaikum muslimah bidadari dunia. Masih ingatkah Humairah pada abang? Apa khabar Humairah sekeluarga?”

Fikiran Humairah benar-benar terusik dengan kisah lalu. Kisah yang tidak mungkin dilupakan. Apakah yang menyebabkan Hizmi menghantar sms pada diri yang selayaknya dilupakan? Hati dan fikirannya benar-benar terganggu. Beberapa minit dibiarkan, fikirannya tidak mampu menumpukan perhatian pada artikel amanah dari Ustaz Kamil.

Humairah bangkit dari posisinya, segera mencari ketenangan dari Ilahi. Dialah Pemberi ketenangan, ingin ditagih ketenangan pastilah meminta dari Pemberinya. Inginkan kedamaian hati, maka... Dicarinya cinta dari Allah yang menyembuhkan kelukaan hatinya. Segera Humairah mengambil wudhuk dan menunaikan solat sunat Taubat dan menghadam Quran. Penawar hati yang terbaik!

Setelah dirasakan ketenangan yang sirna kembali menyisip, Humairah meneruskan artikel yang hampir siap! Sambil mendengar alunan kalamullah bacaan Syeikh Saad Al-Ghamidy, Humairah teringat akan pesanan ibu tersayang, dakapan dan belaian ibu yang sering dirinduinya. Kata ibu:

“Seorang wanita solehah itu tercipta untuk lelaki yang soleh. At-toyyibat lit-toyyibin. Wanita yang baik untuk lelaki yang baik, begitulah sebaliknya. Telah tercatat seungkap nama di Loh Mahfuz untukmu, Cuma peribadinya ditentukan oleh sejauh mana ketinggian peribadimu. Jika kau terhambat di jalan yang diredhai, insyaAllah si dia turut di jalan yang sama. Lupakan segala kegundahan, teguhkan diri pada cinta hakiki nescaya cinta si dia yang soleh turut kau miliki.”

Kata-kata ibu sewaktu dirinya sedang dalam kegundahan. Terima kasih ibu kerana tidak pernah jemu menasihati Humairah! Terima kasih ya Allah kerana mengurniakan seorang ibu yang solehah buat Humairah! Humairah tersenyum lalu meneruskan artikelnya.

“Syukur alhamdulillah.” Humairah kembali tersenyum puas. Setelah seharian berhempas-pulas, akhirnya artikel “Cinta Ilahi” yang diamanahkan oleh Ustaz Kamil siap sepenuhnya. Setiap ejaan dan bait ayatnya siap disemak. Humairah lalu mengambil hensetnya, ingin sekali menalifon ibu dan memohon doa agar hatinya sentiasa tenang di jalan dakwah.

Sekilas jam pada henset dipandangnya, 12.20 malam. Mungkin ibu sudah diulit mimpi indah. Teringat akan sahabat setia yang tidak pernah jemu menasihati dan memberikan semangat buatnya, Salsabila. Sal kini menuntut di universiti terkemuka di kota London. Walaupun dipisahkan jarak dan masa, namun tautan ukhuwah yang terjalin tidak pernah pudar.

Humairah tersenyum riang, sms dihantar kepada sahabat terbaiknya.

“Assalamualaikum cik akak sayang, apa kabar... Dah jumpa mat saleh ke sampai lupakan Irah, lama tak dengar kabar Sal. Ana rindu sangat pada Sal, moga Sal sihat dan ceria. Doakan ana yer, moga kekal di jalan dakwah dan tarbiyah. Amin”

Sekelumit hatinya teringatkan pada sms dari Hizmi, lelaki yang pernah mengetuk pintu hatinya. Juga lelaki yang pernah hadir dalam hidupnya, lelaki yang pernah mendampinginya untuk dijadikan suri hidup. Namun, Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat mereka. Wamakaru wamakarallah wallahu khairul makirin. Humairah yakin sekali dengan percaturan Allah, pasti yang terbaik untuk setiap hamba.

Irama hatinya bergetar, tarian imannya sedikit goyah. Hatinya beristighfar panjang. Nasihat Kak Naimah, naqibahnya sedikit sebanyak dijadikan senjata.

“Jangan mulakan langkah andai tidak mahu terjerumus menjadi asbab kelalaian pada lelaki. Jangan biar mereka merasakan respon dari kita hatta kita senang dengan kehadiran mereka. Hakikatnya, andai dia jodoh untuk Irah, insyaAllah pasti Allah akan bukakan jalan untuk menyatukan.”

Humairah memiliki wajah ayu nan mempersona, campuran darah Arab-Melayu yang mengalir pada tubuhnya. Seraut wajah berbekas wadhuk dan nur iman yang terpancar sering menjadikan dirinya sebutan ikhwan. Namun, jauh di sudut hatinya, sedaya upaya ditepis setiap salam yang dihulurkan andai bersandarkan pada ketukan perasaan yang mengharapkan lebih dari menjadi seorang sahabat. Hatinya dihiasi dengan cinta Allah dan rindu rasul Nya.

Pengalaman lalu banyak mengajarnya erti kedewasaan. Pengalaman lalu juga mengajarnya untuk lebih mengharapkan pertolongan Ilahi dalam apa juga urusan, Allah sajalah yang layak untuk dicintai. Seandainya perlu mengalihkan perasaan cinta itu, biarlah ibu dan abah yang merasainya. Merekalah selayaknya merasai kemanisan cinta Humairah. Dan suatu hari nanti, pastilah seorang insan bernama suami akan menikmati kelazatan cintanya. Iya... Hanya suaminya. Bukan cinta lelaki yang tidak sah baginya.

Nafasnya seakan ditahan. Berat sekali keluhannya. Betapa sukarnya untuk merasai kemanisan ketenangan, satu sms dari Hizmi merampas segalanya. Humairah beristighfar panjang. Hiba rasanya apabila sering menjadi perhatian lelaki. Sedaya upaya dilelapkan mata. Jam menunjukkan angka 1 pagi. Keesokan harinya kelas al-Quran Ustaz Mustakim bermula pada jam 8 pagi. Bebola mata Humairah masih gagal untuk menikmati rehat.

****
Seusai solat subuh berjemaah dengan kak Hanis dan Kak Nuris, mereka bertadarus Quran selama 15 minit. Setelah itu, masing-masing bersiap untuk aktiviti seharian sebagai pelajar. Satu lagi sms dari Hizmi membuatkan Humairah semakin runsing.

“Abang masih sayangkan Humairah. Ingat lagikah Humairah pada abang? Atau Humairah sudah mempunyai calon lain? Insan secantik Humairah, pasti mudah mencari calon suami.”

Humairah istighfar panjang. Hatinya benar-benar runsing dengan sms dari Hizmi. Wajah lelaki yang sedaya upaya dibuang dari kotak fikiran. Lelaki yang pernah memberi harapan dan dia jugalah yang memberi luka pada hati Humairah. Mujurlah Ustaz Fikri dan zaujahnya banyak memberikan semangat. Hampir mereka mengikat tali pertunangan, namun atas sedikit kesilapan dari Humairah lantas Hizmi mengatakan bahawa dia bukanlah calon isteri solehah.

Masih segar lagi kata-kata yang dihamburkan kepadanya. Kata-kata yang penuh dengan kebencian, dan setiap bait ayatnya sangat menghiris hati Humairah. Hatinya rapuh, mujurlah imannya masih utuh mengatasi perasaannya yang lumpuh. Ingin rasanya membalas kata-kata Hizmi, namun ditahan hatinya yang hancur luluh. Biarlah... Allah lebih tahu. Hampir seminggu mengurung diri di kamar hinggalah Ustaz Fikri dan zaujahnya bertandang ke rumah menyalakan kembali semangat yang pudar.

Begitu besar jasa Ustaz Fikri dan zaujahnya, semoga Allah membalas jasa kalian!

Sms Hizmi dibiarkan tanpa balasan walau salamnya. Cukuplah hatinya menderita dengan apa yang telah berlaku. Bukan tidak ada yang ingin mendampinginya, malah ramai yang ingin menjadikan Humairah sebagai isteri, namun hatinya masih berbalut luka. Sukar untuknya memberi peluang kedua buat lelaki.

Kelas al-Quran ustaz Mustakim tidak semuanya masuk ke dalam ingatan Humairah. Sms demi sms dari Hizmi sangat mengganggu ketenteraman jiwanya. Habis kelas al-Quran, Humairah melihat hensetnya. 3 mesej baru:

“Berikan peluang kedua untuk menebus kesalahan abang. Abang sayangkan Humairah, tiada pengganti sehebat Humairah buat abang. Humairah calon solehah idaman abang.”

“Izinkan abang memautkan kembali hubungan kita. Izinkan abang mengambil Humairah secara sah dari ibu dan abah Humairah. Andai Humairah sudi menerima, minggu ni abang akan minta mak abang ke rumah Humairah.”

“Abang menantikan jawapan Humairah... Tolonglah jawab.”

Humairah lantas mematikan hensetnya. Perlahan kakinya diatur ke kafeteria, belum lagi menjamah apa-apa melainkan milo 3 in 1 yang dibekalkan ibu. Sedang menikmati nasi lemak, Kak Izzah menyapa Humairah yang sememangnya runsing dengan sms demi sms Hizmi. Kak Izzah, seniornya yang berpewatakan ceria, semakin ceria selepas berkahwin 3 bulan lalu.

Sedaya upaya disorokkan masalah yang melanda. Namun, senior yang berpewatakan keibuan itu sukar untuk ditipu. Kak Izzah memandang muka Humairah yang kelihatannya tidak ceria seperti selalu.

“Irah ada masalah ker? Kenapa muka Irah tak berseri macam selalu? Gaduh dengan pakwe ke?”

Bulat mata Humairah mendengar perkataan “pakwe”. Tiada istilah “pakwe” dalam hidupnya. Biarlah “pakwe” dunia akhirat adalah suaminya.

“Akak ni... Irah mana ada pakwe la. Orang macam Irah ni, sapa la yang pandang. Kucing pun tak sudi nak pandang tau. Irah penat je, malam tadi tidur lewat.” Alasan yang difikirnya munasabah! Memang Humairah tidak cukup tidur. Matanya lelap selewat jam 1.30 pagi dan bangun pada jam 4.30 pagi.

“Orang cantik macam Irah tak ada pakwe? Hehehe, silap pula akak. Irah gaduh dengan tunang ker?” Kak Izzah masih memancing perhatian Humairah.

“Astaghfirullah hal azhim... Allahuakbar! Irah mana ada tunang kak. Akak ni kan...” Merona merah muka Humairah, memang tidak senang dengan usikan tersebut. Terus Humairah tunduk, tak berani menatap wajah kak Izzah. Malu dengan usikan yang langsung tidak disangkakan.

“Hehehe, belum ada tunang yerk. Habis tu kenapa tak happy jer adik akak ni?” Itulah watak kak Izzah, sentiasa ceria dan mengambil berat tentang kebajikan adik-adik juniornya.

“Bukan tak happy kak, tak cukup tidur jer ni.” Humairah cuba memaniskan muka. Tidak sanggup rasanya menceritakan apa sebenarnya yang melanda ruang hatinya. Terlalu berat untuk dikongsikan dengan sesiapa, hanya Salsabila teman yang dipercayainya. Berbual seketika dengan Kak Izzah dan akhirnya Humairah meminta diri.

****
Humairah melabuhkan tubuhnya di atas katil. Penat rasanya menguruskan program untuk mahasiswa baru. Sebagai orang yang diamanahkan, sedaya upaya dikuatkan hati meneruskan tugasan. Jubah biru laut yang dipakainya pemberian akhi tersayang, buah tangan dari China. Semakin terserlah keayuannya dengan jubah dan tudung labuh biru lembut, tanpa solekan sedikit pun Humairah masih kelihatan cantik mempersona.

Diambil henset dari beg galasnya. Beberapa panggilan dan sms yang tidak disedari. Panggilan dari abah. Allahuakbar, langsung tidak disedari lantaran terlalu sibuk menguruskan program. Sms dari akhi, mengajaknya pulang ke kampung dan sms dari abah, bertanyakan khabar. Dua minggu Humairah tidak menghantar sms pada abah, rutin hariannya terlalu padat. Dan sms dari Hizmi... Humairah mengeluh panjang.

Hatinya berdetik... “Bukanlah aku calon solehah pilihannya. Mengapa masih mencari aku? Sedangnya dia layak dengan insan solehah, bukan muslimah seperti aku.”

Hampir dua bulan Hizmi terus-terusan menghantar sms dan membuat panggilan namun tak satu pun yang dibalasnya. Salsabila menyarankan Humairah berdiam diri dan melakukan solat istikharah. Setelah merasakan gerak hatinya mendapatkan jawapan, pada Allah diletakkan sepenuh pergantungan. Lantas sms Hizmi dibalas seringkas dan padat yang mampu.

“Asif, semoga anta mendapatkan zaujah solehah yang diidamkan. Ana bukan calon solehah.”

Hatinya tenang dengan jawapan yang diberikan. Semoga Hizmi mendapatkan wanita solehah. Bergelut dengan perasaan dan pertanyaan Hizmi yang merunsingkan, ditambah dengan program universiti yang melelahkan sangat memenatkan otak Humairah.

Teringat pada sms akhi, terus Humairah membalas sms akhi.

“InsyaAllah adik free minggu ni, Along ambil hari Jumaat ke? Kelas sampai tengah hari je, petang adik ada halaqoh sampai 3 petang.”

Tak sabar menatap wajah lembut ibu, wajah redup abah. Hampir 3 bulan tidak menjejakkan kaki ke kampung. Cuti semester dihabiskan di rumah Angah, kebetulan Kak Ngah melahirkan anak ke-2 pada cuti semester, ibu dan abah pula menunggu Kak Ngah dalam pantang. Hatinya teringat pada buah rambutan, kata abah sekarang musim rambutan.

****
“InsyaAllah, kalau itu kata abah dan ibu, adik setuju.” Jawapan pendek dari Humairah. Hanya itu yang didengari Kak Nuris, teman sebilik Humairah. Selepas pulang dari kampung, Humairah sering berdiam dan banyak menyendiri. Sepatah ditanya, sepatah dijawab. Humairah yang berpewatakan pendiam itu semakin kurang bercakap, Kak Nuris semakin tertanya. Apalah yang membuat teman sebiliknya menjadi begitu...

“Irah ada masalah keluarga?” Kak Nuris cuba mencari jawapan.

Humairah tertunduk, lama berdiam dan akhirnya mengangkat muka. Setitis air matanya menitik, lalu dibiarkan mengalir ke pipi. Tidak tahan lagi menanggung perasaan yang selama ini disimpan.

“Ada orang yang ingin mengambil Irah sebagai zaujah... Masa balik kampung, ada orang datang meminang Irah.” Humairah menarik nafas dalam-dalam.

“Jadi?” Kak Nuris sedaya upaya menyelami hati teman yang disenanginya. Teman yang paling disayangi juga disenangi. Tangan Humairah dipegang erat...

“Tadi abah talifon bertanyakan jawapan. Irah setuju...” Air matanya semakin deras. Semakin menjadi-jadi esak tangisnya. Kak Nuris menahan rasa di hati, sebak melihat Humairah berkeadaan begitu.

“Apa yang buatkan Irah menangis, Irah tak suka laki tu ke?” wajah Humairah dipandang sedalamnya, wajah yang penuh kelembutan.

“Bukan Irah tak suka. Cuma Irah merasakan tak layak untuk dia... Irah bukan calon solehah idaman lelaki soleh. Masih banyak kekurangan pada diri Irah.” Hatinya masih terluka dengan kenangan lalu. Kata-kata Hizmi seolah-olah bergema beberapa saat yang lalu.

“Adikku sayang, at-toyyibat lit-toyyibin. Wanita solehah untuk lelaki soleh, kita berkahwin bukan untuk mencari tapi proses menjadi. Proses menjadi wanita solehah, bukan mencari lelaki soleh. InsyaAllah, sama-sama berusaha menjadi yang soleh/solehah, pasti membuahkan baitul muslim yang dipenuhi mawaddah, sakinah wa rahmah. Akak yakin, Irah calon solehah. Boleh akak tahu, siapa orangnya?” Kak Nurin masih memujuk Humairah.

Lama Humairah berdiam, akhirnya menjawab dengan suara yang mendatar.

“Ustaz Mustakim...”

“Ustaz Mustakim? Pensyarah pengajian Al-Quran?” Kak Nurin mencari kepastian.

“Naam... Ustaz Mustakim, pensyarah pengajian al-Quran.” Humairah menundukkan muka... Malu bercampur resah bertemu mata dengan Kak Nurin.

“Allahuakbar, beruntungnya Irah. Ustaz Akim tu memang tawadhuk. Ilmunya, masyaAllah... Tahniah Irah. Bila kendurinya?” Kak Nurin tersenyum simpul. Wajah Ustaz Mustakim terlayar di minda. Beruntungnya Humairah... begitulah kata hatinya. Ustaz muda lulusan dari Universiti Mut’ah.

“InsyaAllah hujung bulan depan.” Humairah menjawab pendek.

Tersenyum panjang kak Nurin dengan jawapan Humairah. Maksudnya beberapa minggu dari sekarang Humairah akan berkahwin. Allahuakbar, Maha Kuasa Allah atas setiap yang berlaku. Sepantas ini segalanya terjadi.

****
Wamakaru wamakarallah wallahu khairul makirin... Setiap yang berlaku pasti ada hikmah dari Allah. Masakan Dia sengaja mentakdirkan sesuatu yang menjadikan hamba Nya berkeluh-kesah dan bersedih melainkan disertakan dengan berjuta hikmah yang tidak kita ketahui. Wanita yang solehah buat lelaki yang soleh. Bukan mengharapkan insan soleh/solehah sebaliknya berusaha menjadi yang soleh/solehah, insyaAllah Dia akan mudahkan urusan.

“Allahummaj’alni hubbak wa hubba man ahabbak, waj’al hubbaka ahabba ilayya minal maail baridi...” Rintihan Humairah setiap kali sujud terakhir dalam solatnya. Alhamdulillah, Allah makbulkan permintaan hamba Nya yang bersungguh!

1 comment:

  1. Subhanallah. indah jalan ceritanya. boleh sy mhon share di blog sy ? btw, bole sy tahu mksud rintihan humairah dlm stiap kali sujud terakhirnya ? sy x pandai arab. huhu:/

    ReplyDelete


~Lihat dengan hati kerana pandangan mata selalu gelap, tak mampu menilai hakikat~


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...