Monday, October 22, 2012

ya muqallibal qulub...monolog hati..


Allah bagaimana mahu ku luahkan, walau ku tahu, jika aku tidak meluahkan pun Engkau akan tahu...

Hati. Sukarnya menelah hati. Lebih dalam dari lautan,lebih misteri dari hutan. Tinggi menggapai langit,jauhnya ke dasar bumi.


Istimewanya manusia kerana dianugerahkan sekeping hati. Padanyalah kebaikan dan padanyalah kejahatan. Perjalanannya tidak mudah diduga. Dia hadir bersama kita,namun kita sendiri tiada kuasa keatasnya.



Aku hairan mengapa sering kita berdoa kepada Allah.. Ya muqollibal quluub. Wahai yang membolak balikkan hati. Aku sempat tidak mengerti apa pentingnya hati itu dibolak balik. Kini aku insafi.. Bahawa hati itu Allah lah yang menguasai. Bila dibolak kekanan,islam dan imanlah kita. Boleh saja kemudiannya dibalikkan pula kekiri,tercabutlah islam dan iman dari hati. Kebaikan yang tadinya memenuhi,sekelip mata berganti. Kejahatanlah yang mengisi. Yang tadinya sangat mengakui,kini semuanya ternafi. Bagaimana ia bisa terjadi?


Pelik..hairan..ajaibnya Tuhan. Sungguh aku akur Wahai Tuhan akan kehebatanMu membolak balikkan hati. Ada orang yang beriman diawal,kafir diakhir. Ada yang kafir diawal namun akhirnya diberi iman. Tuhanlah yang berhak melakukan semuanya yang diluar jangkauan makhluk.



Tidakkah kita lihat bagaimana hati itu cukup rahsia? Bapa saudara Rasulullah yang sangat mengasihi Baginda,namun tidak direzkikan hidayah kepadanya. Puas Nabi berdoa memohon petunjuk buat pakcik yang disayangi. Namun Baginda akhirnya setuju bila Tuhan katakan bahawa Dia memberi hidayah kepada sesiapa yang dia kehendaki. Tidak pada yang sebaliknya. Begitu juga sejarah Nabi Nuh yang cukup menyayat hati bila Baginda terpaksa melepas keluarganya hanyut bersama bah besar,mati didalam kekufuran. Hingga disaat terakhir sebelum ditelan badai,Nabi Nuh masih memujuk untuk mereka kembali kepada Allah. Namun..hati benar milik Allah. Hingga ke sudah tiada rezki keimanan buat mereka. Iman trnyata tidak mengalir pada darah dan daging. Tetapi ia diwarisi oleh hati yang Allah titiskan 'Nur' kedalamnya.



Bersalahkah Nabi kerana orang kesayangan mereka tidak dapat diselamatkan? Gagalkah pesuruh Allah itu melaksanakan tugasnya membawa manusia kepada Allah? Tidak..hanya kerana soal hati itu Allah lah yang menentukan. Kita sebagai hamba hanya mampu berusaha dan berikhtiar menyampaikan apa-apa yang terdaya. Walhal untuk mengubah hati hingga sanggup menerima semuanya,itu ditangan Allah.


Menyedari hakikat ini tidakkah hati kita sedang sangat ketakutan. Remuk redam dibuatnya. Memikirkan nasib kita kelak disana. Berfikir-fikirlah akal,apa sebenarnya yang ada pada hati? Suis yang manakah yang tidak kita ketahui? Untuk itu Wahai Tuhan yang MAHA membolak balikkan hati,tolonglah ditetapkan hati kami didalam keimanan bersama kebenaran dariMu dan olehMu.

No comments:

Post a Comment