Monday, September 13, 2010

ISTIKHARAHKU MEMBISIKKAN SESUATU…

oleh:Fatimah Syarha bt Mohd Noordin
Persoalan Lazim Remaja




”Bagaimana kita nak tahu si dia terbaik untuk kita atau tak?”
”Lepas istikharah mesti nampak dalam mimpi ke?”
”Dia kata, dia akan tetap cuba dapatkan saya sebab dia nampak saya dalam mimpi lepas buat istikharah. Macam mana tu? Perlu ke saya terima dia padahal saya tak yakin pun dengannya?”
”Saya takutlah nak buat istikharah. Takut nanti nampak apa yang saya tak kenan.”

Apa Itu Istikharah?

Istikharah merupakan suatu doa dalam membuat sesuatu pilihan samada dilakukan dengan cara berdoa sahaja ataupun sebaik-baiknya solat sunat terlebih dahulu kemudian diikuti dengan doa. Ia dilakukan bukan dalam urusan memilih jodoh semata-mata bahkan dalam apa jua urusan yang melibatkan dilema membuat pilihan.
Contohnya, nak beli kereta VIVA atau Myvi bila dah mula kerja nanti, nak balik kampung atau ikuti program keusahawanan ketika cuti semester depan, nak pilih course Undang-undang Sivil atau Undang-undang Syariah, dan sebagainya. Serahkan kepada Allah dalam membuat pilihan dengan istikharah dan musyawarah (berbincang).
Namun, tiada istikharah dalam menolak perintah Allah atau melakukan larangan-Nya. Contohnya, nak pakai tudung ke tak? Nak pakai jeans ke baju kurung? Nak pergi dating atau study? Dan sebagainya.

Istikharah Menghapus Unsur-unsur Ramalan

Islam datang memancarkan sinar ketika masyarakat Arab jahiliyah sedang tenggelam dengan amalan menilik nasib, dukun, mentera dan meramal masa depan. Pelbagai kretiviti direka-reka untuk menilik nasib ketika itu seperti meramal dengan bintang, meramal dengan sial burung dan mengundi dengan undian belahan-belahan kayu yang keras yang telah dihaluskan. Mereka meramal untuk mengetahui bilakah waktu yang sesuai untuk memulakan perniagaan atau meramal kalah menang dalam peperangan dan sebagainya.

Firman Allah SWT, maksudnya: ”Wahai orang yang beriman, bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib adalah semata-mata amalan kotor daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah al-Maiah: 90).

Sebagai pengganti kepada unsur-unsur ramalan seperti ini, Allah SWT mensyariatkan istikharah yang mengandungi benih tauhid dan kebahagiaan di dalamnya. Tidak akan menyesal orang yang memilih untuk beristikharah sebelum memutuskan urusannya.

Doa Istikharah

"Ya Allah, aku memohon petunjuk daripada-Mu dengan ilmu-Mu dan aku memohon ketentuan daripada-Mu dengan kekuasaan-Mu dan aku memohon daripada-Mu akan limpah kurniaan-Mu yang besar. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa dan Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkaulah Yang Maha Mengetahui segala perkara yang ghaib. Ya Allah, seandainya Engkau mengetahui bahawasanya urusan ini (pernikahanku dengannya) adalah baik bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, takdirkanlah ia bagiku dan permudahkanlah serta berkatlah bagiku padanya dan seandainya Engkau mengetahui bahawa urusan ini (pernikahanku dengannya) mendatangkan keburukan bagiku, pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, maka jauhkanlah aku daripadanya dan takdirkanlah kebaikan untukku dalam sebarang keadaan sekalipun kemudian redhailah aku dengannya".

Galakan Istikharah

Melihat galakan istikharah yang tinggi dalam Islam hingga ada yang menganggapnya wajib. Namun, ulama salafussoleh bersepakat bahawa istikharah itu sunnah bukan wajib.
Kata Jabir bin Abdullah: Rasulullah s.a.w. mengajar kami beristikharah dalam semua pekerjaan seperti baginda mengajar kami satu surah dari Al-Quran, sabdanya: "Apabila seseorang kamu mempunyai rancangan untuk melakukan sesuatu hendaklah dia melakukan solat sunat dua rakaat, kemudian bacalah doa ini…” (Hadis Sahih Riwayat Bukhari).

Imam al-Syawkani berkata dalam Naylul Awtar bahawa istikharah disyariatkan di dalam Islam dan tidak diketahui terdapat khilaf padanya.

Rasulullah SAW bersabda: ”Salah satu sumber kebahagiaan anak Adam adalah beristikharah kepada Allah dan redha dengan apa yang ditentukan kepadanya, dan daripada keburukan anak Adam ialah meninggalkan istikharah kepada Allah dan membenci apa yang telah ditentukan kepadanya.” (Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi)

Petunjuk Istikharah Melalui Mimpi?

Petunjuk istikharah tidak semestinya dalam bentuk mimpi. Ia boleh hadir dalam bentuk ketenangan hati. Demikian pendapat Imam Nawawi r.a. dan disokong oleh kebanyakan ulama. Setelah beristikharah dan berbincang kemudian diteguhkan pendirian dan dipermudahkan jalan ke arahnya, itupun suatu petunjuk. Jadi kenapa perlu takut untuk istikharah?

Jika seseorang itu mengalami mimpi yang menenangkan hatinya setelah istikharah, ianya hanyalah satu bonus daripada Allah SWT buatnya. Petunjuk tidak semestinya melalui mimpi!

Jangan terpedaya dengan seseorang yang berhujah dengan mimpinya sendiri untuk memaksa orang lain menerima dirinya. Mimpi orang lain tidak boleh menjadi hujah bagi kita!

Hatta kalau kita sendiri yang bermimpikan seseorang setelah istikharah, kita mesti memastikan terlebih dahulu mimpi itu tidak dipengaruhi oleh kecenderungan tertentu akibat tidak menjaga hati dan membiasakan diri dengan banyak perkara yang melalaikan.

Imam Ibnu Hajar al-Asqolani menekankan supaya jangan cenderung kepada salah satu antara dua atau lebih pilihannya sebelum membuat istikharah. (Fath al-Bari, 11/223).

Jangan sandarkan keputusan sepenuhnya kepada mimpi tanpa mempertimbangkan hujah yang jelas dengan perbincangan melalui petunjuk al-Quran dan al-Sunnah .
Wanita Hanya Perlu Menunggu dan Beristikharah? Perlu ke Wanita Berusaha Mencari Jodoh?
Ye, wanita juga perlu berusaha. Tapi bagaimana caranya?

1.Berusaha menyediakan diri sebagai produk ‘solehah’ yang diidam-idamkan. Biasanya produk ‘solehah’ yang bermutu tinggi dari segi agama dan akhlaknya mempunyai permintaan tinggi di dunia dan di akhirat. Apabila sesuai masanya dan tepat orangnya, serahkanlah ‘kesedian hati’ anda untuk dirisik dan dipinang dengan jalan yang syarak.

2.Berusaha mengawal diri supaya jangan gedik, mudah menyerah dan mudah melayan kerana wanita sebegini biasanya begitu senang untuk dimiliki oleh lelaki yang tidak berakhlak sahaja. Biasanya wanita yang senang dimiliki (hanya dengan sedikit godaan berupa sms, call, puji-pujian dll), senang pula untuk dipersia-siakan.

3. Berkawan dengan rakan-rakan sejantina yang solehah. Jodoh anda mungkin di kalangan abang mereka, saudara mereka dsb yang soleh-soleh juga. Jelaskan niat bahawa itu bukan matlamat tapi wasilah semata-mata.

4.Jika anda terpikat pada agama dan akhlak seorang lelaki dan anda ingin memulakan, pilihlah cara melalui orang tengah yang soleh. Jangan menghantar hasrat terus kepadanya kerana ia boleh menjatuhkan martabat dan kemuliaan ‘malu’ anda di matanya.

5.Minta ibu bapa, abang atau saudara-mara yang mencarikan untuk anda.

6. Jika anda dirisik secara langsung oleh seorang lelaki dan anda memang menyenangi agama dan akhlaknya serta berkeyakinan dia boleh berubah menjadi lebih baik, mintalah dia merisik dengan cara yang lebih mulia iaitu dengan terus melibatkan ibu bapa, bukan hanya berdua-duaan antara anda dan dia. Ingat cara yang menggunakan orang tengah dan menjauhi fitnah itu adalah cara yang dilakukan oleh Rasullah SAW.

JODOH ITU TELAH DITETAPKAN, BEZANYA SAMA ADA KITA MENDAPATKANNYA DENGAN CARA MULIA ATAU CARA HINA. PILIHLAH.

No comments:

Post a Comment


~Lihat dengan hati kerana pandangan mata selalu gelap, tak mampu menilai hakikat~


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...